CADANGAN PERLESENAN PERIKANAN REKREASI MALAYSIA
Cadangan perlesenan bagi aktiviti memancing pernah menggemparkan dunia memancing Malaysia pada tahun 2014. Pada tahun 2016 sekali lagi pihak Jabatan Perikanan Malaysia telah pun mengemukakan kembali cadangan perlesenan tersebut dan kali ini dalam konteks yang lebih terbuka dengan mengambil kira cadangan dan pandangan pemancing di dalam negara.
Beberapa siri road tour bermula awal Mei sehingga Jun berlangsung di seluruh pejabat perikanan negeri dan pusat bagi menjalankan taklimat perlesenan rekreasi tersebut. Alhamdulillah, Pihak Fishyology turut dijemput pada sesi taklimat di Putrajaya dan post blog kali ini sedikit sebanyak dapat memberikan sedikit gambaran mengenai cadangan tersebut buat tatapan khas rakyat Malaysia.


Status Ekosistem Perairan Malaysia
Perkara pertama yang dipaparkan oleh pasukan Penyelidikan Perikanan Malaysia, membentangkan data tangkapan ikan seperti (Layaran, Tuna, Marsuji, Kerapu dan Jenahak) menunjukkan kadar penurunan yang konsisten saban tahun. Pasukan Penyelidikan Perikanan Malaysia telah berjaya membuktikan secara tepat, berlaku gangguan Ekosistem Perikanan yang bakal merugikan negara pada masa akan datang. Sekiranya ianya tidak dibendung dan dikawal selia secara berhemah, kita mungkin akan kehilangan sumber marin yang amat penting buat Nelayan mencari rezeki. Namun harus diingatkan juga bawah, kita sebagai Pemancing bakal ataupun lebih tepat sudah pun merasakan hasil tangkapan semakin berkurang dan size tangkapan semakin kecil.
Kita tidak dapat menipu diri sendiri yang lapangan pancing air laut sekitar Malaysia menghadapi tekanan yang hebat akibat tiada kawalan yang sistematik bagi memastikan kesinambungan ekosistem perikanan Malaysia terpelihara. Salah siapa? Pemancing @ Nelayan @ Perikanan? Kita ada pendapatan masing-masing dan sesetengah pihak lebih mudah mengalihkan tanggungjawab ini dengan hanya menuding jari. Apa yang lebih penting adalah kita mengambil langkah proaktif dalam memastikan lapangan pancing di Malaysia boleh di nikmati bersama dan dipelihara buat generasi akan datang.

Cadangan Perlesenan Perikanan Rekreasi Malaysia
Perlesenan ini hanya dikhususkan buat pemancing air laut sahaja dan tiada kene mengena dengan pemancing air tawar. Cadangan harga lesen yang diajukan oleh pihak Perikanan adalah RM10 bagi tempoh setahun. Pemancing mungkin akan menerima kad dan buku panduan undang-undang atau peraturan yang harus dipatuhi. Apa yang lebih menarik adalah cadangan harga lesen yang amat berpatutan diawal peringkat penguatkuasaan dapat meringankan beban dan mengurangkan penolakkan orang ramai terhadap cadangan ini.
Perlesenan ini walau bagaimana pun tidak menjanjikan sebarang penggezettan kawasan memancing eksklusif, pembinaan tukun-tukun baru dan jetty-jetty khusus buat pemancing. Perlesenan ini boleh dikatakan “Handshake” diantara Pemancing dan Jabatan Perikanan dimana hak bersuara dan hak lain-lain akan diberikan kepada kita semua. Mungkin sebelum ini, pandangan dan aduan seorang pemancing tidak diendahkan namun dengan adanya lesen ini, pihak berwajib perlu melindungi hak seorang pemancing di Malaysia.
Dunia pemancing mungkin hanya dunia picisan bagi individu yang tidak meminati dan memahami hobi ini. Di Malaysia ianya tidak di anggap sebagai salah satu cabang sukan, dan mungkin kita sudah biasa dengan tanggapan seperti “Hobi yang hanya buat masa, busuk, kulit hitam, bazir duit“. Satu hobi yang hanya saya dan anda semua faham kenapa kita masih melekat dalam dunia ini. Sudah tiba masanya kita meninggalkan dogma negatif masyarakat dan menyahut cabaran baru bagi memantapkan lagi “kita” sebagai pemancing ke arah lebih professional. Cadangan ini harus diterima dengan hati terbuka dan berharap apa sahaja cadangan dan tujuan Perikanan mampu mengubah industri pemancing kepada satu industri yang lebih dinamik.
Hasil kutipan wang perlesenan juga bakal disalurkan kearah Research and Development bagi memahami industri pemancing secara lebih mendalam. Dengan ini, pihak berwajib akan lebih memahami scenario sebenar dan mencadangkan penambah baikkan yang lebih effektif buat semua pihak yang terlibat. Selain R&D, RM10 akan digunakan untuk menubuhkan satu sistem pengurusan perlesenan memancing dan memantapkan pangkalan data pemancing dan lapangan pancing bagi tujuan penambah baikkan pada masa hadapan.

Penguatkuasaan Perlesenan
Turut dibincangkan di sesi taklimat tersebut adalah perlaksaan dan penguatkuasaan perlesenan memancing. Ianya menjadi salah satu isu yang hangat diperbahaskan oleh pakar-pakar industri. Penguatkuasaan adalah satu kelemahan yang harus diperbaiki didalam menjayakan cadangan perlesenan ini. Penguatkuasaan akan dijalankan oleh pihak Perikanan secara synergi dengan pihak komuniti memancing (NGO, Charter, Guide dan Pemancing). Memang diakui, penguatkuasaan akan menjadi isu dimana perlaksanaan ini mungkin tidak akan mencapai 100% penguatkuasaan perlesenan tersebut, namun ia harus bermula pada tahap yang optimum bagi meneruskan kesinambungan penambah baikkan industri pemancingan Malaysia.
Contoh terbaik yang boleh kita ketengahkan adalah komuniti Kuala Rompin, dimana kawalan atau pun etika pancingan rekreasi diterapkan dan dilaksanakan oleh persatuan pengusaha boat Kuala Rompin bagi melindungi spesis sasaran iaitu Layaran @ Pasific Sailfish.
Sekiranya ada sokongan komuniti dan kolaborasi dengan pihak berkuasa, penguatkuasaan perlesenan perikanan rekreasi ini boleh direalisasikan dengan jayanya. Asas kerjasama seperti di Kuala Rompin boleh dijadikan penanda aras buat komuniti lain bagi memantapkan lagi industri ini.
Sesetangah pemancing sanggup berbelanja besar untuk keluar negara bagi menduga lapangan pancing terkemuka dunia. Kita semua idamkan lokasi pancingan rekreasi yang baik, hasil yang lumayan, servis tiptop namun tak semua mahu menyentuh atau ambil tahu hal konservasi dan menanam sifat tanggungjawab didalam etika memancing “Sportfishing”. Dengan adanya cadangan ini, ianya sedikit sebanyak mampu menanam sifat tanggungjawab kita sebagai pemancing yang sayangkan ekosistem perairan negara. InSyaAllah, sekiranya kerjasama semua pihak yang terlibat atau stakeholder didalam industri ini dapat usahakan, tidak mustahil lapangan pancing kita akan kembali seperti 10-20 tahun lepas.
PERJUANGAN BELUM SELESAI
Alhamdulillah, secara amnya, cadangan kali ini lebih baik dan mengambil kira pandangan dan cadangan komuniti pemancing Malaysia agar perlaksanaan ini dapat dijalankan dengan jayanya. Namun begitu, perjalanan bagi menempatkan aktiviti sukan memancing di negara kita setaraf seperti Australia, UK dan Amerika Syarikat masih jauh dan CADANGAN PERLESENAN PERIKANAN REKREASI MALAYSIA merupakan satu langkah bijak didalam memastikan kesinambungan hobi ini buat generasi akan datang.
Bagi pihak Fishyology, ribuan terima kasih diucapkan buat team Perikanan Malaysia terutama sekali Tuan Halimi Hanip dan Tuan Yap Kabillah didalam usaha mereka menyampaikan info yang tepat dengan mengadakan road show taklimat cadangan ini. Diharapkan usaha yang murni ini mampu diteruskan dan kelak meletakkan Malaysia sebagai salah satu destinasi pancingan dunia.
